Slot Tahukah Anda?

Hukuman Islam VS Hukuman Civil

Hukuman Sebat Cara Islam
Dalam islam hukum sebat (had jilid) hanya dikenakan ke atas jenayah :
(a) Zina
Hukuman : Bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya ialah sebat 100 kali.
(b) Qazaf (Melemparkan tuduhan zina tanpa bukti terhadap orang yang baik)
Hukuman : sebat 80 kali
(c) Minum arak
Hukuman : sebat 40 kali

Sifat-Sifat Sebatan:
- Rotan yang digunakan tidak besar sehingga boleh mematahkan tulang.
- Rotan yang digunakan tidak halus sehingga boleh melukakan.
- Rotan yang digunakan tidak pecah-pecah.
- Tukang sebat tidak boleh mengangkat tangan melebihi kepala sehingga kelihatan putih ketiaknya. Tujuan sebatan (hudud) bukan untuk membunuh atau membinasakan, tetapi untuk memberi keinsafan dan mencegah pasalah daripada melakukan kejahatan.

- Sebatan tersebut tidak sampai melukakan,mencederakan dan membinasakan tubuh pesalah.
- Tidak boleh memukul kawasan kepala, muka, kemaluan, dan tempat-tempat yang boleh membawa maut seperti di perut.
- Pukulan dikenakan ke atas beberapa tempat pada badan. Dilarang memukul pada tempat yang sama.

Cara-Cara Pelaksanaan Hukum Sebat :
- Pesalah dalam keadaan sempurna berpakaian (tutup aurat). Tidak boleh (haram)  menelanjangkan/mendedahkan aurat pesalah sebagaimana hukuman rotan di dalam penjara sekarang ini, kecuali jika pesalah memakai pakaian tebal yang menghalangnya daripada berasa sakit seperti pakaian musim sejuk. Ketika itu, pesalah hendaklah menukar pakaian tersebut kepada pakaian yang boleh menyebabkan dia berasa sakit.
- Pesalah lelaki dalam keadaan berdiri manakala pesalah wanita dalam keadaan duduk.
- Tidak boleh mengikat atau memegang pesalah.
- Hukuman ini tidak boleh dijalankan pada masa pesalah sakit, dalam tempoh nifas, sedang hamil, pada hari terlalu panas atau terlalu sejuk.
- Bagi pesalah yang ditimpa sakit yang ada harapan untuk sembuh seperti demam atau sakit kepala, hendaklah dilewatkan hukuman sebat sehinggalah dia pulih daripada sakit tersebut.
- Bagi pesalah yang ditimpa penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, syarak memberi keringanan kepada mereka dalam hukuman sebat. Dalam kes seperti ini, hukuman akan terus dilaksanakan tetapi bukan dengan 100 sebatan (hukuman zina). Caranya adalah dengan mengumpulkan seratus dahan/ranting pokok, diikat (jadikan satu), kemudian sebat pesalah hanya dengan sekali sebatan.

Hukuman Sebat Cara Civil Di Malaysia

- Terdapat dua jenis rotan yang digunakan :
(a) Rotan jenis nipis : Digunakan untuk kes rasuah, kesalahan jenayah pecah amanah, dan jenayah kolar putih.
(b) Rotan jenis tebal : Digunakan untuk jenayah seumpama kes rogol dan kekacauan seksual.
- Rotan jenis nipis tidak begitu merosakkan badan, akan tetapi ia lebih menyakitkan.
- Rotan tebal yang melebihi lima kali sebatan boleh mengakibatkan mati pucuk dan kematian rasa dari punggung ke bawah yang payah dipulih.

Oleh kerana kesan merotan yang begitu dahsyat, undang-undang Malaysia mengecualikan kategori-kategori di bawah daripada hukuman tersebut :
1. Perempuan, kerana merotan boleh menjejas keupayaan beranak.
2. Lelaki berumur 50 tahun ke atas.
3. Orang yang disahkan tidak sihat oleh pegawai perubatan.
4. Orang gila.

- Jumlah rotan paling banyak yang boleh dikenakan ke atas seorang penjenayah mengikut undang-undang jenayah Malaysia ialah 24 rotan.
- Hukuman tidak diperlihatkan kepada orang ramai melainkan kepada mereka yang terlibat sahaja (Pegawai Penjara dan Pegawai Perubatan).
- Pengarah Penjara/Pegawai penjara akan membaca hukuman kepada pesalah, dan memintanya mengesahkan hukuman yang terbaca. Beliau juga akan bertanya pesalah tersebut adakah rayuan telah dibuat. Jika ya, hukuman merotan akan ditangguhkan sehingga keputusan rayuan diputuskan.
- Pesalah dalam keadaan telanjang selepas pemeriksaan perubatan dijalankan melainkan hanya dipakaikan sehelai apron yang diikat kepada pinggang.
- Sewaktu dirotan, tangan dan punggungnya diikat pada suatu rangka berbentuk “A”. Kepalanya diletakkan dibawah sebatang kayu melintang supaya badannya membongkok.
- Tukang sebat akan menghayunkan rotan kearah punggung pesalah dengan sekuatnya, seolah-olah pemain golf menghayunkan pemukul.
- Hukuman sebatan mesti dijalankan dalam satu sesi. Sekiranya pesalah itu pengsan, ataupun pegawai perubatan mengarahkan pelaksanaan hukuman diberhentikan kerana pesalah tidak boleh meneruskan lagi, pelaksanaan merotan akan ditamatkan. Suatu permohonan akan dibuat kemudian kepada makhamah supaya baki rotan digantikan kepada hukuman pengurungan. Biasanya, setiap rotan disamakan dengan lima atau enam bulan pengurungan.

Perkongsian oleh Saudari Nur Syahirah binti Abdul Haris, Perwakilan Amman.

"Mendukung Syariah, Menegak Keadilan"

Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri