Kenyataan media PPMM dialog bersama COMANGO

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa PPMM telah membaca dan memahami laporan yang disediakan oleh COMANGO kepada Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. PPMM mendapati bahawa terdapat beberapa tuntutan yang dikemukakan oleh COMANGO menjejaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang. Malah tuntutan tersebut juga akan memberi kesan yang besar kepada kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta berupaya menimbulkan keresahan dan kegusaran di dalam masyarakat Islam.

Menerapkan nilai universalisme tanpa mengambil kira waqi' setempat berdasarkan adat, urf, budaya dan anutan agama masyarakat setempat tidak boleh diterima di Malaysia dan ia sendirinya menafikan hak asasi masyarakat setempat yang mahu hidup berteraskan norma dan budaya tempatan.

Sebagai sebuah pertubuhan sivil yang bertanggungjawab, PPMM bersedia menyambut cabaran berdialog bersama COMANGO dalam agenda dibawa oleh COMANGO yang menimbulkan kemarahan umat Islam. Dialog tersebut mestilah menjurus kepada tuntutan yang dikemukakan oleh COMANGO dan kebejatan yang bakal diwujudkan jika tuntutan COMANGO tersebut diterima. PPMM telahpun mengenalpasti 7 orang di kalangan ahli PPMM yang bersedia berdialog secara beradab dengan COMANGO sebagaimana yang dianjurkan Islam.

Walau bagaimanapun dialog tersebut hendaklah diadakan secara tertutup bagi mengelakkan ianya di manipulasi dan dipolitikkan pihak-pihak tertentu. Dialog ini hendaklah diadakan bagi mencari kebenaran bukan publisiti.

PPMM bersedia berunding dengan COMANGO di dalam menetapkan tarikh dan tempat dialog akan diadakan.

Dato Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia
21 Feb 2014

Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri