COMANGO : Penerimaan Muktamad Syor Kepada Kerajaan Malaysia

20 Mac, Palais des Nasions, GENEVA - Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menghadiri sidang penerimaan muktamad syor kepada Kerajaan Malaysia yang diberikan semasa Sidang Semakan Berjadual Sejagat hari ini yang berlangsung di Palais des Nasions, Geneva.

Delegasi PPMM yang tiba lebih awal sebelum ini juga berpeluang menjalani latihan bersama Geneva International Centre for Justice bagi mendapat maklumat, input dan penjelasan tentang proses UPR, Majlis Hak Asasi Malaysia dan prosedur-prosedur yang boleh digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. PPMM juga berpeluang menghadiri beberapa sidang sampingan (side events) khususnya berkaitan dengan terorisma dan menghadapi terrorisma, hak asasi Islam di Malaysia, wanita dalam konflik, Palestin dan juga beberapa sidang tidak rasmi lain.


Kesemua makluman yang diperoleh amat berguna bagi terus digunakan demi kepentingan agama dan negara di Malaysia kelak. Delegasi PPMM terdiri dari Dato Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden PPMM), Prof Dato Sri Zaleha Kamarudin (Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Dato Dr Abdul Monir Yaacob (Naib Presiden Universiti Islam Malaysia), Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM), Adzly Ab Manas (Exco PPMM), Lukman Sheriff Alias dan Muhammad Izaan Azalan (ahli PPMM).

Berbalik kepada sidang penerimaan muktamad tersebut, PPMM menzahirkan rasa terima kaseh dan syukur kepada Kerajaan Malaysia yang tidak berganjak atau tunduk dengan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh COMANGO dan 232 syor anggota PBB yang dikemukakan Oktober lepas yang memudaratkan kedaulatan Islam dan negara.

PPMM hanya menumpukan enam syor COMANGO yang pada pandangan PPMM tidak boleh dilaksanakan oleh Malaysia.

Secara rigkasnya Kerajaan Malaysia mengambil pendirian daripada 232 syor yang dikemukakan, 113 diterima sepenuhnya 22 diterima secara prinsip dan 15 separa terima. Kerajaan juga di dalam laporan tersebut menyatakan Kerajaan tidak dapat memberi pertimbangan terhadap syor yang didasarkan daripada kesilapan fakta. Kerajaan juga menegaskan bahawa beberapa syor yang dikemukakan tidak disokong Kerajaan setelah mengambil kira kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Islam yang membentuk bahagian mendasar dalam undang-undang Malaysia. Kerajaan juga menegaskan mahkamah sivil dan syariah hendaklah saling lengkap melengkapi dan tidak berkonflik antara mereka.

PPMM sedar bahawa dengan berakhirnya sidang penerimaan muktamad oleh Kerajaan Malaysia ia bukan merupakan episod akhir babak pertikaian terhadap kedudukan Islam dan kedaulatan negara. Banyak usaha mesti diteruskan lagi bagi memperkukuh institusi Islam dan kenegaraan dari masa ke semasa. Umat Islam tidak boleh berasa puas hati terhadap apa yang telah diputuskan sebentar tadi.

PPMM menegaskan peripentingnya pendidikan hak asasi manusia diberi peluang kepada khalayak awam dan rakyat dapat menilai kebejatan yang akan dibawa oleh enam tuntutan yang dikemukakan oleh COMANGO. PPMM menyeru semua pihak menggandakan usaha bersatupadu mempertahankan kedaulatan Islam dan negara dari terus dibelenggu dan diperkotak katik oleh kuasa besar.

PPMM mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana telah menzahirkan pandangan yang amat jelas menolak sebarang bentuk pencabulan atas kedaulatan Islam dan negara. PPMM juga merakamkan terima kaseh kepada semua rakyat Malaysia dan NGO Islam yang tidak putus putus berdoa dan mengambil inisiatif agar Kerajaan tegas menolak syor-syor yang bertentangan dengan norma dan nilai tempatan. Kajian secara terperinci akan dilakukan kelak tentang impak penerimaan ini.

Begitu juga rakyat perlu menggarap usaha dari sekarang bagi menghadapi pusingan ketiga UPR bagi menilai prestasi Malaysia berhubung dengan hak asasi manusia yang dijangka berlangsung pada tahun 2018.

Dato Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden PPMM

Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri