Pendakwaan Ke Atas Kassim Ahmad Tidak Bercanggah Syariat atau Perlembagaan

27 Mac - Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah mengikuti kronologi isu Kasim Ahmad sehingga beliau didakwa di mahkamah syariah Putrajaya semalam. Kronologi peristiwa tersebut diukur berdasarkan parameter perundangan, perlembagaan dan syariah. 

PPMM menegaskan bahawa setiap kebebasan yang dianugerahkan di dalam Perlembagaan Persekutuan ataupun dalam Islam termasuk kebebasan bercakap bukanlah diberikan secara total tetapi ada had yang telah digariskan. Tiada kebebasan mutlak di dalam mana-mana sistem perundangan di dunia ini.

PPMM juga menegaskan bahawa pendakwaan terhadap Kasim Ahmad adalah sejajar dengan undang-undang yang berkuatkuasa. Beban pembuktian untuk mensabitkan beliau bersalah atas kesalahan yang didakwa masih lagi terletak di bahu pendakwa syarie.


PPMM percaya pihak penguatkuasa agama telahpun menjalankan siasatan yang wajar sehingga Ketua Pendakwa Syarie membuat keputusan untuk mendakwa Kasim Ahmad kerana terdapat bukti-bukti yang mencukupi.

Kasim Ahmad diberi hak sepenuhnya untuk meminta perbicaraan di dalam mahkamah sekiranya beliau berpendirian beliau tidak bersalah atas dakwaan tersebut. PPMM percaya perbicaraan yang adil akan dijalankan di dalam prosiding terhadap beliau. Oleh yang demikian PPMM menasihatkan Kasim Ahmad menumpukan pembelaan beliau di dalam prosiding tersebut bukan meraih simpati melalui media.

PPMM mengalu-alukan tindakan pendakwaan yang dilakukan oleh Pendakwa Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan kerana kemarahan masyarakat Islam arusperdana akan dapat diredakan dengan pendakwaan ini disamping tidak memberi ruang kepada 'perbicaraan melalui media' dalam isu ini.

Pendakwaan terhadap Kasim Ahmad juga memberi isyarat kepada individu dan kumpulan lain yang acapkali menguji kesabaran umat Islam dengan pelbagai kritikan, tindakan dan perkataan yang menghina dan tidak menghormati agama Islam.

Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri