Kehilangan Pesawat MH 370 BOEING 777-200

Seri Kembangan, 9 Mac - Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) merakamkan kedukacitaan atas kehilangan pesawat pesawat MH 370 dinihari 8 Mac lepas. PPMM berkongsi kedukacitaan ini dengan semua keluarga penumpang dan krew penerbangan tersebut dan seluruh saf pimpinan PPMM berdoa agar misteri kehilangan pesawat ini dapat dirungkaikan dengan segera.

        PPMM juga menghargai keprihatinan semua pihak yang tidak putus putus mengikuti perkembangan tragedi ini dan menitipkan doa dan harapan agar tiada perkara buruk yang berlaku. Namun PPMM menasihati khalayak awam agar tidak menyebarkan sebarang bentuk spekulasi yang tidak disahkan kebenarannya. Ini adalah bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang kini dalam keresahan melebihi keresahan yang kita alami. Berat mana mata memandang berat lagi bahu yang memikul.


         PPMM juga akur pihak berkuasa dan Penerbangan Malaysia perlu berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Oleh hal yang demikian kelewatan mengadakan sebarang makluman rasmi mungkin ada tujuan tertentu khususnya bagi memastikan informasi tepat diperolehi oleh keluarga 239 mangsa terlebih dahulu. Pihak berkuasa dan Penerbangan Malaysia mempunyai obligasi yang lebih besar terhadap keluarga mangsa daripada khalayak awam.

          PPMM juga maklum Penerbangan Malaysia telah mengambil langkah wajar membentuk pasukan menghadapi situasi trauma ini di kalangan keluarga mangsa yang terdiri dari pegawai dan kakitangan kabin yang berpengalaman dan terlatih bagi meredakan kegelisahan di kalangan keluarga mangsa. Pasukan sokongan ini amat penting bagi memberi kelegaan dan menzahirkan perasaan simpati dan kedukacitaan kepada keluarga mangsa.

            PPMM mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar tragedi ini dapat dirungkaikan dan khalayak awam mengetahui punca sebenar insiden ini. Segala yang berlaku di bumi dan di langit adalah di dalam ketentuan Allah SWT, Kami berdoa kepadaMu Ya Allah berikanlah tanda dan petunjuk agar pesawat tersebut dapat ditemui. Pemudahkanlah penemuan itu Wahai Tuhan Sekalian Alam.

PPMM juga mengambil kesempatan ini untuk menyarankan kepada syarikat penerbangan kebangsaan ini agar:

a) mewajipkan pembacaan doa musafir di awal setiap penerbangan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penerbangan negara Islam yang lain;
b) tidak menyediakan minum beralkohol di dalam semua penerbangan atas faktor keselamatan (kalaupun tidak mahu menggunakan faktor agama) bagi mengelakkan penumpang atau krew mabuk semasa penerbangan; dan

c) memberi pilihan kepada pramugari berpakaian menutup aurat agar mendapat keberkatan di dalam permusafiran.

Sekali lagi PPMM menzahirkan rasa dukacita atas insiden ini dan menyeru kepada semua keluarga mangsa yang terlibat agar bersabar dan tabah menghadapi apa jua ketentuan Allah SWT.

Dato Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri

Info tentang Diploma Perundangan