Kenyataan Rasmi PPMM Berhubung Pilihanraya Umum ke-13


PERSATUAN PEGUAM PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana telah diisytiharkan dan berjaya mendapat majoriti dan membentuk Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri. PPMM juga ingin merakamkan tahniah juga kepada Pakata...n Rakyat yang berjaya mendapat kerusi majoriti dan membentuk kerajaan-kerajaan negeri di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.

PPMM menegaskan pilihan rakyat ini adalah suatu tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan keadilan kepada semua rakyat Malaysia. Jawatan-jawatan yang disandang bukanlah satu ‘tasyrif’ (kemuliaan) tetapi merupakan ‘taklif’ (kebertanggungjawaban) kepada penyandang jawatan.

Bermula dari masa calon-calon pilihanraya ini diisytiharkan menang, mereka perlu berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan adil. Disamping itu pula ciri-ciri asas (grundnorm) masyarakat perlulah dipelihara dan dipertahankan dari masa ke semasa kerana ia membentuk jatidiri negara itu sendiri.

PPMM SELANJUTNYA MEMANDANG SERIUS DAKWAAN BERLAKUNYA PENYALAHGUNAAN PROSES SEMASA PRU13 DIADAKAN. SEMUA DAKWAAN INI PERLU DISIASAT OLEH PIHAK BERKUASA TENTANG KESAHIHANNYA.
Pelbagai dakwaan dibangkitkan bermula dengan penggunaan dakwat kekal, proses pilihanraya, pengundi hantu, pengiraan dan penjumlahan undi dan banyak lagi ditimbulkan oleh pelbagai pihak.

Jika benar dakwaan tersebut, ia mengambarkan proses pilihanraya yang tidak sejajar dengan undang-undang dan sekiranya tidak benar ia merupakan suatu tohmahan yang tidak harus dilakukan oleh mana-mana warganegara.

PPMM menyeru agar semua bukti-bukti yang menyokong dakwaan tersebut disimpan bagi membantu mahkamah membuat keputusan yang adil nanti.

Walau apapun semua pihak diseru bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan diluar batasan undang-undang. Undang-undang pilihanraya memperuntukkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap mana-mana perjalanan atau keputusan pilihanraya boleh memfailkan petisyen pilihanraya di Mahkamah Pilihanraya dalam tempoh 21 hari dari tarikh pewartaan keputusan pilihanraya tersebut. Biarlah mahkamah yang menentukan kesahihan dakwaan tersebut mengikut undang-undang.
PPMM menegaskan bahawa keamanan dan keharmonian negara perlu terus dikekalkan dan menyeru semua pihak akur kepada keputusan PRU 13 dan keputusan mahkamah yang akan dibuat kelak. Sekalian warganegara perlu kini menumpukan kepada pembangunan negara dan keharmonian sejagat bagi memacu Malaysia ke arah yang lebih cemerlang.

PPMM sebagaimana biasa akan bekerjasama dengan semua kerajaan (Persekutuan dan Negeri-negeri) yang dipilih rakyat tanpa mengira parti bagi bersama-sama memajukan Malaysia dan negeri-negeri di bawahnya. PPMM juga akan terus mengkritik mana-mana tindakan mana mana kerajaan yang tidak betul atau tidak adil bagi tujuan penambahbaikan.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AMN, DPMP
Presiden,
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri