Tugas Peguam Muslim Memartabatkan Agama


UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes.

Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.

Seseorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.


Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Selain itu, jika rakan peguam yang lain mendapat sesuatu kes yang besar seorang peguam hendaklah melihat ia sebagai dorongan dan bukan mengambil sikap mencemburui peguam tersebut.

Antara ciri penting yang perlu ada pada sama ada peguam sivil ataupun peguam syarie adalah:

* Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan.

Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam.

Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Tidak ketinggalan juga pihak lawan juga perlu diberi penghormatan sewajarnya dalam prosiding guaman.

* Mengambil berat dan sabar dalam berurusan.

Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.

Ia bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili. Kemenangan tidak harus dijadikan matlamat utama di dalam prosiding.

Seorang peguam yang baik bukan dinilai dari berapa banyak kes yang dimenanginya tetapi sebaliknya adakah peguam berkenaan dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada semua pihak.

* Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu juga menjadi ciri penting seorang peguam yang baik.

Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami.

Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.

Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.

Walaupun kekananan peguam agak penting tetapi ia bukanlah segala-galanya. Walau kanan mana sekalipun seorang peguam, sekiranya tidak bersedia dengan kes, beliau bakal berhadapan dengan kekalahan.





* Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang digaulinya.

Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.
Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.

Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya.

Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.

* Seorang peguam juga perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.

Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia akan membantu peguam menjalankan tugasan dan mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.

Kepakaran yang dimiliki dalam bidang perundangan bukanlah milik individu tetapi mesti dikongsi dengan orang lain.

* Adalah penting juga bagi seorang peguam mempunyai sikap suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Peguam tidak seharusnya terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan menyelia kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya.

Amat penting juga bagi para peguam menyediakan pelapis-pelapis yang berkebolehan bagi mengambil alih tugas mereka pada masa akan datang kerana generasi akan lebih terjamin haknya jika mempunyai peguam yang cemerlang.

Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.

Peguam perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis sama ada sistem sivil mahupun syariah.

Apa yang menjadi matlamat adalah mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan undang-undang.

Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan mediasi dan sebagainya.

Seorang Peguam Syarie pula mempunyai piawaian yang lebih tinggi kerana mereka terikat dengan undang-undang Islam dan hukum syarak.

Kebertanggungjawaban kepada Allah adalah yang paling tinggi harus diletakkan oleh seseorang peguam syarie.

Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka..." Ia sangat memberi penekanan mengenai konsep integriti.

Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di depannya bersama mereka.

Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Justeru, peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak.




Profesion kepeguaman khususnya kepeguaman Islam adalah profesion yang amat dihormati dan penuh dengan cabaran.

Seorang Peguam Muslim bukan sahaja dikehendaki berjaya dalam profesionnya di mahkamah tetapi juga diharap menjadi juara memartabatkan undang-undang Islam khususnya di Malaysia.

Walaupun jumlah peguam Muslim di Semenanjung Malaysia sudah menghampiri separuh dari jumlah peguam yang beramal, namun impak yang diberi oleh peguam Muslim di Malaysia secara relatifnya amatlah kecil.

Peguam Muslim seharusnya menganjak paradigma dengan lebih mengambil bahagian di dalam semua organisasi bagi membantu matlamat menegakkan kedudukan Islam di tempat yang sewajarnya.

Keenam-enam ciri yang disebutkan di atas perlu disemai di dalam setiap diri peguam Muslim sama ada sebagai peguam sivil atau peguam syarie ataupun kedua-duanya sekali.

Comments

Popular posts from this blog

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri

Info tentang Diploma Perundangan