Mahkamah Syariah

Oleh : Hatim Shauki (Pelajar Tahun 4, Usul Fiq , Yarmouk University)


Firman Allah s.w.t dalam surah Al Maidah ayat 42 yang bermaksud:
“Jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang adil”.
Undang-undang Islam menekankan keadilan yang tinggi dan tidak membenarkan ia digunakan untuk kezaliman. Oleh sebab itu Mahkamah Syariah telah ditubuhkan atau diwujudkan di setiap buah negeri di Malaysia. Mahkamah Syariah ini akan mengendalikan kes-kes yang berkaitan dengan orang Islam sahaja. Perkembangan Mahkamah Syariah ini amat berlainan dengan apa yang berlaku di negara-negara Islam di Asia Barat iaitu sistem Mahkamah Syariah di Malaysia tetap berjalan serentak dengan sistem mahkamah negara selepas merdeka meskipun kedudukannya tidak sama dengan mahkamah negara. Dalam sistem pentadbiran formal, kedudukan kadi dan Mahkamah Syariah terletak di bawah sistem pentadbiran Jabatan Agama Islam di setiap buah negeri kecuali Sabah dan Sarawak yang ditadbir oleh Majlis Agama.


Bidang Kuasa.

Bidang kuasa pada umumnya diberikan kepada kadi dan ketua kadi serta Jawatankuasa Rayuan negeri yang berkenaan. Dalam bidang kuasa jenayah, Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi boleh membicarakan sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seseorang Islam, mengenakan hukuman mengikut peruntukan sesuatu enakmen dan menguatkuasakan sebarang hukuman yang diperuntukkan di dalam enakmen tersebut. Mahkamah ini juga mempunyai bidang kuasa untuk membuat dakwaan-dakwaan terhadap kesalahan-kesalahan perkahwinan, perlakuan seks yang ditegah seperti khalwat, meminum minuman keras, menyebarkan ajaran songsang, tidak membayar zakat dan fitrah, tidak menunaikan sembahyang jumaat dan tidak mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan.

Dalam bidang kuasa sivil pula, Mahkamah Syariah membicarakan dan membuat keputusan terhadap segala jenis tindakan dan prosiding yang melibatkan penganut agama Islam yang berkait dengan hal-hal pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan atau perpisahan secara undang-undang. Sebarang pelepasan hak, tuntutan hak, harta benda yang terlibat di dalam hal-hal yang berkait dengan perkara-perkara yang di sebutkan tadi. Mahkamah Syariah juga membicarakan kes mengenai pemberian nafkah orang dalam tanggungan, keesahan, penjagaan atau hak penjagaan bayi dan pembahagian atau tuntutan harta sepencarian. Kes lain yang berkaitan yang boleh dibicarakan ialah mengenai penentuan terhadap orang-orang yang berhak mewarisi harta si mati yang menganut agama Islam atau bahagian harta yang berhak diwarisi oleh orang-orang yang berkenaan. Wasiat atau pemberian terus dari si mati yang menganut agama Islam.

Selain itu, pemberian inter vivos, pembayaran yang telah di buat bukan dalam bentuk wang atau tanpa mengambil kira persamaan nilai wang oleh seseorang yang menganut agama Islam salah satu daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tidak lupa juga kes mengenai wakaf atau nazar atau hal-hal lain yang diperakukan dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang secara bertulis.

Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa untuk membicarakan seseorang yang melakukan suatu kesalahan di dalam negeri itu sahaja. Sekiranya seseorang yang bersalah itu berada di luar negeri tersebut, maka pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa unruk menyaman atau membicarakannya. Keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah adalah lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil kerana apabila dua keputusan yang dibuat bertentangan, maka keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sivil diambil kira sepertimana peruntukannya yang menyebut bahawa:
Apa yang terdapat di dalam Enakmen hendaklah tidak memberi kesan terhadap bidang kuasa Mahkamah Sivil, dan sekiranya wujud sesuatu perbezaan atau pertentangan sesuatu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Kadi Besar atau Mahkamah Kadi dan keputusan Mahkamah Sivil pula adalah tertakluk di bawah bidang kuasa perundangannya, maka keputusan Mahkamah Sivil adalah diterima pakai.

Perkara 121(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. Pindaan ini menunjukkan bahawa mahkamah-mahkamah yang dirujuk dalam Fasal (1) iaitu Mahkamah Tinggi tidak akan mempunyai bidang kuasa ke atas sebarang perkara yang berada dalam lingkungan bidang kuasa Mahkamah-mahkamah Syariah. Walaupun peruntukan tersebut menandakan tiada lagi gangguan daripada Mahkamah Tinggi dan memberikan hak yang lebih kepada Mahkamah Syariah tetapi ia masih boleh dipersoalkan. Ini kerana Aturan Mahkamah Tinggi 1980 dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang berkaitan dengan certiorari dan ulasan kehakiman yang memberikan hak atau kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk mengatasi mahkamah-mahkamah yang lebih rendah termasuk Mahkamah Syariah.

Berhubung dengan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah, peningkatan bidang kuasa perundangannya masih belum mencapai tahap standard yang dikehendaki oleh undang-undang Islam. Mahkamah Syariah umpamanya, masih belum dapat mengenakan atau menjalankan hukuman hadd dalam jenayah zina, fitnah dan meminum minuman keras sebagaimana yang ditetapkan oleh Al Quran dan As Sunnah.





Skop Mahkamah Syariah.

Kuasa untuk menggubal undang-undang Islam ialah di bawah tanggungjawab Badan Perundangan Negeri tetapi tertakluk kepada undang-undang persekutuan kerana Undang-undang tertinggi di Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukan dalam Perkara 3(1) iaitu agama Islam ialah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Akan tetapi Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa ‘agama Islam’ dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bermaksud tindakan-tindakan yang berkaitan dengan upacara rasmi dan adat istiadat sahaja.

Undang-undang Islam yang di laksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah tidak menyuluruh tetapi hanya tertumpu kepada harta benda khairat, hasil keagamaan, tempat-tempat ibadat dan sebahagian besar daripada tugasnya adalah meliputi undang-undang keluarga bagi orang Islam disesebuah negeri yang berkenaan. Ini kerana bidang kuasa perundangan Mahkamah Syariah pada amnya hanyalah dikhususkan mengenai undang-undang keluarga Islam, pewarisan orang Islam termasuk wasiat dan tak berwasiat, kesalahan jenayah serta hal ehwal agama. Oleh yang demikian, kedudukan Mahkamah Syariah hanyalah untuk mengisi sebahagian kecil bidang kuasa dalam sistem perundangan negara. Ketetapan terhadap soal-soal yang berkait dengan hal ehwal sendiri tanpa mengambil kira aspek-aspek perundangan kebangsaan yang lain telah meletakkan Mahkamah Syariah pada tahap yang rendah berbanding dengan mahkamah-mahkamah lain di Malaysia.

*Artikel ini ditulis pada 14 jan 2006 semasa diperingkat Diploma.



Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri