Setelah 6 Tahun Tertubuhnya KPMJ

Kelab Peguam Muda Jordan


1) Pengenalan

Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) ditubuhkan pada 19 Julai 2011 hasil cetusan idea Saudara Muhammad Shafiq Mukhtar Presiden Persatuan KPMJ yang dipersetujui oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Dato' Zainul Rijal Bin Abu Bakar dan telah dirasmikan penubuhannya oleh YAB Dato' Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri di Amman, Jordan. Objektif awal penubuhan kelab ini adalah lebih kepada berorientasikan kepada karier guaman dan latihan undang-undang bagi membentuk pelapis institusi guaman dan mahkamah syariah Malaysia pada masa akan datang serta memberi input tentang isu perundangan semasa. Ini adalah satu medium untuk Mahasiswa Jordan membina karakter dan potensi ke arah melahirkan tenaga profesional berdasarkan kepada perkongsian pintar melalui modul-modul tersusun. Dua institusi yang menjadi penaung utama kepada kelab ini adalah Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Education Malaysia Jordan.


Tahun 2017, setelah hampir 6 tahun, KPMJ bertapak di bumi Jordan, KPMJ kini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya, kekurangan mahasiswa/i Malaysia di Jordan sendiri secara umumnya dan yang paling ketara adalah kekurangan pelajar berjurusan Fiqh wa Usuluh di sini. Tidak cukup dengan itu, KPMJ juga menghadapi cabaran dari sudut lambakan program sesama mahasiswa/i Malaysia yang semakin menarik dan lebih terkehadapan isu-isu yang dibincangkan. 



2) KMPJ ; Setelah 6 Tahun

Alhamdulillah pada tarikh 14 April 2017, telah diadakan satu Mesyuarat Agung Khas Kelab Peguam Muda Jordan yang telah secara rasminya melantik muka-muka baharu bagi mengemudi bahtera yang telah dibina sejak 6 tahun dahulu ini.

Buat sesi ini, kami cuba mengetengahkan suatu dasar utama yang lebih holistik bagi seluruh mahasiswa/i Malaysia di Jordan. Dasar utama kami kali ini adalah menjadikan KPMJ sebagai sebuah badan yang khusus bagi ilmu-ilmu berkaitan perundangan, perlembagaan dan guaman. Sementara, KEADILAN adalah intipati utama yang bakal kami ketengahkan dalam setiap ilmu berkenaan termasuk keadilan dalam Syariah Islam.




3) KPMJ ; Badan Ilmu Perundangan

Undang-undang adalah suatu peraturan hidup yang dikuatkuasa untuk mendisiplinkan seseorang individu. Menurut Anwarul Yaqin (1996), undang-undang adalah satu set peraturan yang yang mentadbir tingkah laku manusia. Tujuannya adalah untuk KEADILAN dan mestilah bersesuaian, diterimapakai dan dipersetujui secara umum oleh masyarakat.

Perundangan merupakan suatu bidang yang mencakupi seluruh amal kehidupan seorang insan. Setiap detik dalam kehidupan ini, kita berhadapan dengan undang-undang. Bahkan, boleh disimpulkan, ia merupakan sesuatu yang tabii dalam kehidupan seorang insan. Setiap individu inginkan kehidupan yang terancang, tersusun dan teratur. Setiap insan inginkan negara yang aman dan sejahtera. Maka, undang-undang dengan tujuan mendidik dan menghukum adalah sesuatu yang tidap dapat tidak harus diwujudkan.

Tamsilan mudah yang dapat diberikan adalah apabila seseorang memandu kereta di simpang empat, sudah pasti dia memerlukan lampu isyarat bagi memudahkan pergerakannya dan mengelakkan daripada kemalangan.

Hakikatnya, keperluan untuk mendalami ilmu perundangan walau daripada apa jurusan pembelajaran sekalipun adalah suatu tuntutan yang agak besar.





4) KPMJ : Badan Ilmu Perlembagaan


Menurut Aziz Bari (2016), setiap negara mempunyai perlembagaan. Hatta negara diktator, fasis dan apartheid juga mempunyai perlembagaan. Jadi, apakah perbezaan negara-negara ini dengan negara-negara lain ?

Sebenarnya, negara berperlembagaan adalah negara yang dipandu oleh semangat perlembagaan. Dalam istilah yang lebih mudah, negara berperlembagaan adalah negara yang mempunyai tadbir urus yang baik. Lebih popular dikenali sebagai good governance. Akauntabiliti, ketelusan, semak dan imbang, kesemuanya ini adalah kerangka utama yang kami ingin ketengahkan melalui prinsip yang lebih holisitik iaitu KEADILAN.

Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang sarjana perlembagaan, M.P. Jain, ‘Sesebuah negara itu mungkin memiliki perlembagaan tetapi tidak semestinya memiliki semangatnya ( constitutionalism ). Dalam senario seperti inilah, keadilan harus mengambil peranan dengan tidak membenarkan perlembagaan digunakan oleh pemerintah bagi menindas dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ideal keadilan dalam perlembagaan itu sendiri.

Hidup di sesebuah negara dalam keadaan langsung tidak mengambil tahu walau sedikit tentang perlembagaan negara tersebut adalah sesuatu yang sangat merugikan. Sayugianya, setiap rakyat sesebuah negara mengambil maklum serba sedikit tentang perlembagaan negaranya lebih-lebih lagi bagi merealisasikan suatu sisi yang sering diratib oleh Dr Aziz Bari, ‘Merakyatkan Perlembagaan’.


Kesimpulan




Kelab Peguam Muda Jordan ( KPMJ ) sesi ini ingin menekankan sekali lagi bahawa kelab ini bukan hanya ditubuhkan buat mahasiswa/i di Jordan yang bercita-cita ingin menjadi peguam walaupun kami akui itu sememangnya salah satu objektif kami tetapi sebenarnya kami mempunyai visi dan misi yang lebih besar iaitu ingin mendedahkan ilmu perundangan, perlembagaan dan guaman yang merentasi setiap jurusan pembelajaran.

Dalam erti kata lain, sewajarnya kita mendalami ilmu perundangan, perlembagaan dan guaman serba sedikit kerana sebenarnya kita hidup di atas bidang ini dalam setiap detik kehidupan kita sehari-hari.

Semoga dengan penulisan ringkas ini, kita akan dapat lihat pertambahan pendaftaran ahli KPMJ sesi ini atas kesedaran betapa signifikannya ilmu ini buat kita semua. Besar harapan kami agar mahasiswa/i di Jordan sesi ini dapat sama-sama menyertai program-program yang dianjurkan oleh KPMJ sesi ini dan berikutnya. Sebarang cadangan atau penambaikan bagi sesi ini sangat kami alu-alukan.

 " Keadilan Diperkasa, Bertunjangkan Syariah. "


Comments

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri