Tatacara (prosuder) mal di mahkamah syariah


Oleh: Hatim Shauki

Penubuhan Mahkamah Syariah adalah khusus untuk membicarakan pertelingkahan atau perbalahan antara umat Islam berlandaskan Hukum Syarak yang bertunjangkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Untuk itu, Undang-undang syariah ataupun hukum Islam diadakan adalah untuk mengawal segala perbuatan yang dilakukan oleh orang Islam bagi menjaga kesucian Islam itu sendiri. Mahkamah Syariah telah diberikan keistemewaannya yang tersendiri apabila pada tahun 1988 pindaan Perlembagaan yang mana Perkara 121 (A) telah memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak boleh atau campurtangan terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.[1]


Sepertimana yang kita ketahui Mahkamah Syariah mempunyai hireraki yang tersendiri yang mana terdiri daripada Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Di dalam setiap peringkat tersebut terbahagi kepada dua bidangkuasa iaitu Tatacara Mal dan Jenayah. Tatacara Mal melibatkan kes-kes yang kebanyakkannya melibatkan kekeluargaan dan harta. Manakala Jenayah pula melibatkan kesalahan-kesalahan hudud seperti berzina, mencuri, menuduh zina atau qazaf, meminum arak, menyamun, memberontak dan hal-hal yang berkaitan dengan aqidah umat Islam. Di bawah bab ini, kami akan membincangkan mengenai bahagian prosedur mal samada dari segi prosedur-prosedur pra bicara dan semasa hari perbicaraan, penghakiman, perlaksanaan rayuan dan peruntukan yang pelbagai.

Prosedur-Prosedur Mal

Sebelum kita mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana prosedur-prosedur mal dijalankan di Mahkamah Syariah eloklah kita mengetahui terdahulu apakah pengertian prosedur itu sendiri? Prosedur bermaksud aturan, cara bekerja, tatacara ataupun cara. Ada juga yang mengambil dari bahasa Arab yang bermaksud “kaifiat” yang membawa erti cara sesuatu untuk mengerjakan. Prosedur juga boleh dimaksudkan langkah-langkah rasmi atau sesuatu perkara yang mesti dilakukan dalam tindakan yang hendak dibuat atau lain-lain prosiding, sivil ataupun jenayah. Ia terletak kepada lex fori (undang-undang yang berkaitan dengan prosedur atau formality yang berkuatkuasa di sesuatu tempat yang tertentu.)[2] Daripada maksud ini dapatlah kita fahami bahawa prosedur perbicaraan adalah bagaimana cara-cara sesuatu perbicaraan itu dijalankan atau diuruskan.

Menurut Imam Syafie proses ini telah lama dipraktikkan dan wujud sejak abad ke tiga atau ke sembilan hingga ke hari ini sebagai contoh prosedur kehakiman walaupun tanpa sebarang tambahan. Pada zaman sekarang testimoni adalah bukti yang objektif manakala pengakuan pula adalah bukti yang subjektif.

Prosedur merupakan sesuatu perkara yang amat penting bagi memastikan perjalanan kerja ataupun urusan sesuatu perkara dapat dijalankan dengan licin dan sempurna walaupun terdapat sedikit kecacatan. Oleh itu, prosedur yang telah ditetapkan di dalam mahkamah hendaklah dipatuhi dan diikuti.

Pengeluaran Saman

Setiap tindakan yang mahu diambil ke atas defendan hendaklah di mulakan dengan pengeluaran saman yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah. Ini adalah yang diperuntukkan di dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 (selepas ini disebut ETMMSS 2003) di dalam seksyen 8 yang bermaksud setiap saman hendaklah diisi dengan menggunakan borang yang telah ditetapkan dan saman ini hendaklah disertakan sekali dengan penyataan tuntutan sepertimana yang dikehendaki di dalam seksyen 63 enakmen yang sama. Tiap-tiap saman yang hendak dikemukakan oleh plantif hendaklah difailkan dalam tiga salinan. Pernyataan tuntutan mestilah menyatakan sebab mengapa sesuatu tindakan itu diambil.

Pendaftar hendaklah memeriksa supaya saman yang hendak dikemukakan adalah berbentuk sempurna setelah segala bayaran telah diselesaikan termasuk bayaran untuk penyampaian saman tersebut.[3] Jika Pendaftar berpendapat bahawa saman tersebut tidak sempurna maka saman itu boleh ditolak ataupun dipinda.

Penyampaian dapat dilakukan dengan beberapa cara yang ditetapkan oleh mahkamah. Antara cara tersebut adalah penyampaian yang dilakukan oleh peguam pihak plaintif kepada peguam pihak defendan seperti yang diperuntukkan didalam seksyen 43 ETMMSS 2003. Selain itu, saman juga dapat diserahkan melalui cara penyerahan ganti.

Serahan ini dapat dilakukan apabila pihak defendan tidak dapat diketahui di mana ianya berada ataupun enggan untuk menerima saman tersebut. Serahan ganti dapat dilakukan dengan beberapa cara seperti iklan di dalam akhbar, meletakkan notis di kediaman pihak defendan, penyampaian kepada penjaga ad-litem atau serahan secara bayaran pos berdaftar.

Saman yang diterima hendaklah mempunyai bukti bahawa penyampaian saman itu telah sampai kepada pihak yang menerima saman. Ini akan dijadikan bukti di mahkamah bahawa saman tersebut telah disampaikan kepada pihak defendan. Contohnya seperti bayaran pos berdaftar yang mana pihak yang menerima saman mestilah menandatangani serahan saman tersebut tidak kira yang menerima saman tersebut adalah orang lain seperti anak, isteri ataupun sesiapa sahaja. Didalam seksyen 49 ETMMSS 2003 memperuntukkan bahawa sesuatu saman yang telah diserahkan hendaklah mempunyai bukti penerimaan atau penyampaian. Saman yang telah dikeluarkan oleh mahkamah hendaklah diserahkan tidak kurang daripada 14 hari.

Setelah Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dan kedua-dua pihak tidak hadir sama ada bagi pihak plaintif ataupun pihak defendan maka mahkamah tidak akan teragak-agak untuk membuang kes tersebut. Ini adalah berdasarkan seksyen 121(1)(a). Akan tetapi jika pihak defendan tidak hadir di dalam perbicaraan setelah pihak Mahkamah mempunyai bukti bahawa saman telah diserahkan maka Mahkamah boleh mendengar dan memutuskan penghakiman setelah berpuas hati dengan penyampaian yang telah dikemukakan oleh pihak plaintif berdasarkan seksyen 121(1)(b) ETMMSS 2003. Dan apabila pihak plaintif pula tidak hadir maka pihak mahkamah boleh membuang kes tersebut dan mendengar tuntutan balas yang dikemukakan oleh pihak defendan berdasarkan seksyen 121(1)(c) dalam enakmen yang sama.



Pembelaan

Setelah saman dilakukan dan defendan menerima saman yang disertakan sekali dengan pernyataan tuntutan maka pihak defendan hendaklah membuat pembelaan terhadap saman yang dinyatakan kepadanya. Pembelaan dibuat adalah untuk membela diri dengan apa yang telah dinyatakan di dalam saman dan hendaklah dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Di dalam seksyen 64 ETMMSS 2003 telah memperuntukkan bahawa seseorang boleh mempertikaikan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif pada masa sebelum dan semasa hadir di mahkamah untuk menyampaikan sendiri pembelaan yang telah diwakilkan kepada peguam antara plaintif atau defendan. Pembelaan yang hendak dibuat ke atas tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak plaintif hendaklah dibuat dengan mengisi borang yang telah ditetapkan. Pihak defendan boleh membuat tuntutan balas kepada pihak plaintif sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam seksyen 66 ETMMSS 2003.


Pembelaan Terhadap Tuntutan Balas


Pembelaan ini dibuat setelah pihak defendan menyatakan tuntutan balas terhadap pihak plaintif. Jika pihak plantif tidak menjawab segala tuntutan balas yang dilakukan oleh defendan ini akan menyebabkan pihak defendan akan bertukar menjadi plaintif manakala plaintif akan bertukar menjadi defendan.

Di dalam seksyen 67 ETMMSS 2003 telah memperuntukan bahawa jika plaintif berhasrat untuk untuk membuat pembelaan terhadap tuntutan balas yang telah dilakukan oleh defendan maka dia hendaklah memfailkan dan menyampaikan sebab-sebab pembelaan terhadap tuntutan defendan itu kepada defendan dalam tempoh yang diarahkan Mahkamah.


Jawapan

Di dalam Seksyen 69 ETMMSS 2003 telah memperutukkan bahawa mahkamah boleh memerintahkan di atas kuasanya supaya jawapan yang diberikan hendaklah difailkan atau diserahkan sebagai pembelaan yang dibuat oleh pihak-pihak yang bertelagah sama ada tuntutan itu adalah suatu tuntutan atau tuntutan balas.

Selain itu mahkamah boleh atas budi bicaranya keengganan menerima atau meminda pliding yang dikemukakan yang tidak memenuhi prosedur yang telah ditetapkan mengikut yang diperuntukan di dalam seksyen 70 ETMMSS 2003. Setelah semua prosedur telah disempurnakan oleh pihak plantif dan pihak defendan, mahkamah akan menyatakan waktu sebutan kes itu akan dibicarakan.




[1] Noor Aziah Mohd Awal. 2004. Pengenalan Kepada Sistem Perundangan Di Malaysia. International Law Book Services: Kuala Lumpur. Hlmn 140

[2] Y.A. Datuk Hj. Ibrahim bin Lembut. 2003. Prosiding dan Prosedur Perbicaraan Kes Mal Di Mahkamah Syariah. Kertas kerja dibentang  di Seminar Ke Arah Memperkemaskan Undang-Undang Keterangan dan Prosedur Di Mahkamah Syariah, anjuran bersama Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), 12-13 Jun 2003, Seremban.

[3] Abdul Monir Yaacob, sunt. 1995. Undang-Undang Keterangan dan Prosedur Mahkamah. Institut Kefahaman Islam Malaysia: Kuala Lumpur. Hlmn 208

Comments

  1. ASsalammualaikum ...

    Saya pelajar jurusan Syariah & Undang-Undang Mesir ketika ini.

    Saya berminat untuk mengetahui jawatan-jawatan di mahkamah
    dan peguam sendiri.

    Mohon untuk team editorial mencari bahan dan bukti untuk mengahsilkan penulisan yang boleh dimanfaatkan bersama.

    Apa yang saya mahu tahu ialah :

    1. Pegawai-pegawai kehakiman di Mahkamah (fungsi dan cara kerja)

    2. Peguam-peguam (fungsi dan cara kerja di dalam mahkamah dan luar mahkamah)

    Moga apa yang diminta saya ini diketahui oleh semua penuntut syariah di luar sana.

    ReplyDelete
  2. Minta berhubung dgn kelab peguam muda mesir, dan kbetulan persatuan peguam muslim malaysia sdg ada disana berpogram bersama2 kpmm dan isma mesir.. Blh terus dptkn mklumat dari ppmm secara lgsg. syukran .

    ReplyDelete
  3. Tulisan yang amat baik. Tahniah.

    ReplyDelete
  4. penulisan yang sangat bermanfaat. Tqsm .

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Info tentang Diploma Perundangan

Syarat Minimum Peguam Syarie Mengikut Negeri