Ucapan Perasmian Pembukaan LANCER IV
Bismillahirahmanirrahim.....
Assalamualaikum wrmth....
Yang saya muliakan....
Alhamdulillah, seinfiniti syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas rahmat dan kasih sayangNya kita dapat dipertemukan di dalam satu Program LANCER IV, yang bertemakan “Dunia Forensik: Mitos, Perundangan & Syariah”
Hadirin Yang Dirahmati Allah sekalian,
Pada tahun ini, sekali lagi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) dan Education Malaysia Jordan (EMJ) mengadakan program “LANCER IV” dengan dengan mengangkat tema “Dunia Forensik: Mitos, Perundangan & Syariah”.
Sebelum saya pergi lebih jauh lagi izinkan saya untuk mengucapkan jutaan terima kaseh dan penghargaan PPMM khususnya kepada YB Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengusahakan sumbangan dana dari pihak Kerajaan Malaysia bagi program ini serta Y Bhg Dato Zainal Abidin Jaafar Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan yang juga meluluskan sumbangan dana dari MAIWP. Tidak lupa juga kepada barisan pimpinan KPMJ yang diketuai oleh Ahmad Shauqie Zainal Abidin yang dapat mempastikan kejayaan LANCER IV walaupun dalam masa yang pendek. Tidak ketinggalan kepada EXCO PPMM dan delegasi keseluruhannya. Saya juga mengucapkan terima kaseh kepada Cik Raihan Mustafa Kamal dan Tuan Muhammad Fasha Musthafa sekretariat LANCER IV PPMM atas segala usaha mereka menjayakan agenda PPMM ini. Begitu juga kepada Pengarah LANCER IV Saudara Mohd Saiful Razali dan keseluruhan jawatankuasanya yang bertungkus lumus memastikan program ini walaupun di dalam
fatrah peperiksaan. Juga tidak ketinggalan penghargaan khas saya kepada penggiat persembahan teater dan para mooters. Jutaan penghargaan juga kepada peserta LANCER IV dari keempat-empat mantiqah Mafraq, Mutah, Amman dan Irbid kerana kehadiran anakanda sekalianlah yang menjayakan program tahun ini.
Istimewa juga penghargaan saya kepada sahabat saya TYT Ambasador Zakri Duta Besar Malaysia ke Jordan para pegawai beliau di Kedutaan Malaysia di Amman, Prof Madya Dr Suhaimi Lazim Pengarah EMJ , Ustaz Kamaruzzaman dan pegawai-pegawai EMJ yang sering membantu KPMJ dan PPMM ketika berada di Jordan dan juga MPMMJ.
Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini LANCER menyentuh tiga bidang utama iaitu pembentukan karier berkaitan penerokaan kepeguaman syarie, perbincangan ilmiah takhasuss dan juga penerangan isu semasa. PPMM berpandangan tiga elemen ini amat penting bagi kita sama-sama memahaminya dan menyemainya di bumi ambiya ini agar ia masak ranum dan boleh dituai di tanah watan kita kelak.
Bagi pengembangan kepeguaman syarie kita menampilkan seperti biasa isu peranan peguam syarie di Malaysia serta mooting. Isu semasa pula akan menampilkan forum isu perundangan semasa dan penjelasan tentang Gender Identity Disorder yang juga mempunyai kaitan dengan forensik yang menjadi arena ilmu takhasus dan tema yang kita akan sama sama bincangkan dalam LANCER IV ini.
Kenapa tema ini dipilih tahun ini?
Dengan perkembangan teknologi moden sekarang, pelbagai cara pembuktian kes boleh dibuat di Mahkamah termasuklah kaedah forensik. Kaedah forensik tidak lagi terhad kepada kes-kes pembunuhan mahupun yang melibatkan kecederaan tetapi malah turut boleh melibatkan aspek penulisan dan sebagainya dan sudah mula diterima di Mahkamah Syariah apatah lagi di Mahkamah Sivil.
Tema “Dunia Forensik: Mitos, Perundangan & Syariah” dilihat sesuai untuk perbincangan selari dengan isu-isu semasa yang melibatkan Dunia Forensik dan Mahkamah Syariah khususnya di mana Mahkamah sudah mula menerima “dunia sains forensik” dalam sesuatu pembuktian kes. Oleh itu, program ini diharapkan dapat merungkai realiti atau mitos dunia forensik, menginsafi penerimaan dunia forensik di dalam sistem perundangan Malaysia, penerimaan amalannya di Mahkamah serta perspektif Hukum Syarak berkaitan forensik ini.
Oleh itu, program ini dilihat, bukan hanya akan dapat mengumpulkan para pelajar yang mempelajari jurusan Syariah, malah para pelajar daripada jurusan lain terutamanya pelajar perubatan di mana peranan setiap daripada mereka sekiranya mereka dipanggil ke Mahkamah untuk memberikan keterangan.
Anakanda-anakanda sekalian,
Saya difahamkan para peserta pada hari ini seramai 300 orang yang terdiri daripada pelbagai bidang jurusan Syariah Usuluddin Lughah dan Adab, Pergigian dan Perubatan. Para peserta terdiri daripada 5 universiti utama University AL-Bayt, University Of Jordan, University Yarmouk, University Mu’tah dan Jordan Universty Science Technology (JUST).
Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,
Untuk pengetahuan semua, LANCER adalah satu medan bagi perbentangan kertas-kertas kerja daripada para delegasi. Seperti sebelum ini, LANCER bertemakan sihir dan kita sudahpun mula merangka undang-undang syariah berkaitan dengan elemen sihir tersebut memandangkan ada di antara delegasi yang datang pada setiap LANCER adalah salah seorang ahi jawatankuasa teknikal bagi jawatankuasa pengubalan undang-undang berkenaan. Jika tahun lepas peserta LANCER III didedahkan dengan pelbagai isu sihir, pada awal tahun ini di Malaysia sudah mula diperkatakan tentang keperluan mengadakan undang-undang berkaitan sihir. Nampaknya para peserta LANCER III telah mendahului di dalam mendapat pendedahan tentang sihir ini sejak tahun lepas.
Jadi boleh dikatakan, anak-anak di Jordan ini lebih terkehadapan dalam menerima dan memahami apa yang cuba digubal di Malaysia. Dan saya percaya bila anakanda-anakanda sekalian pulang ke tanahair, tidak lah terkejut sangat dengan undang-undang yang ada. Malah boleh berbangga kerana andalah antara golongan yang pertama mendapat pencerahan berkaitan dengannya.
Jadi PPMM kali ini membawakan satu kelainan dengan menjemput para panel yang takhassus di dalam kepakaran mereka. Kita ada Peguam Syarie. Kita ada Peguam Sivil. Kita ada mantan pengarah CSI Malaysia dan kita ada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sendiri. Jadi, manfaatkanlah ilmu-ilmu yang akan dikongsikan oleh mereka.
- Slot: Peranan Qarinah Dalam Pembuktian Syariah – Oleh Puan Marlina Amir Hamzah Naip Presiden PPMM
- Tajuk : Ujian-Ujian Forensik Dalam Pembuktian Fakta- Ridha Abdah Subri (Setiausaha Agong PPMM)
- Tajuk : Gender Identity Disorder : Pengiktirafan Atau Penyakit- Tuan Abdul Rahim Sinwan (Timbalan Presiden PPMM)
- Tajuk : Meneliti Keterangan Forensik Di Mahkamah Syariah – Tuan Muhammad Azahari Abd Rahman (Hakim Mahkamah Tinggi Shariah Kuantan)
- Tajuk : Dunia Forensik : Mitos Atau Realiti – Tuan Amidon Anan (Mantan Pengarah CSI Malaysia)
- Tajuk : Peranan Graduan Syariah Sebagai Agen Pembangun Ummah Tuan Roslizam Rahim (Bendahari Kehormat PPMM)
- Isu Semasa Perundangan Islam: Saya sendiri dan Tuan Abdul Rahim Sinwan
- Mooting (dibawah selian Puan Hajah NorFaizah Zainudin dan Tuan Muhammad Fasha Musthafa)
Kita ada Tuan Amidon, Mantan Pengarah CSI Malaysia yang akan membicarakan berkaitan kes-kes sebenar disebalik Forensik. Dan kami para delegasi teruja untuk mendengar pengisian daripada beliau, apatah lagi anak-anak sekalian. Tuan Amidon merupakan seorang pakar dan pioneer di bidang forensik ini dan kita datangkan khas untuk anakanda sekalian.
Kita juga ada Tuan Hakim YA Tuan Azhari, Hakim Mahkamah Tinggi Pahang yang mana akan membentangkan berkaitan realiti forensik di dalam Mahkamah Syariah. Ada atau tiada. Jika ada, sejauhmana penerimaan Mahkamah Syariah itu sendiri.
Malah untuk mooting kali ini pula kami tidak lagi memberi panduan yang lengkap sebaliknya membiarkan kreativiti para mooters untuk mempersembahkan mooting mereka. Menyedari bahawa amalan tatacara ini masih asing kepada para mooters kami menyediakan coaches yang berpengalaman bagi membimbing para mooters iaitu Puan Hajah Norfaizah Zainuddin dan Tuan Mohd Fasha Musthafa.
Untuk makluman semua peserta LANCER IV, Jawatankuasa Teknikal Undang Undang Syarak Sivil JAKIM telahpun baru baru ini membentuk empat buah jawatankuasa kecil bagi meminda empat buah undang-undang syariah iaitu Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah, Akta Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah dan Akta Undang Undang Keluarga Islam. Jawatankuasa kecil ini diberi masa selama dua tahun untuk melengkapkan pindaan kepada undang-undang berkenaan. Alhamdulillah wakil-wakil daripada PPMM termasuk saya sendiri telah dilantik menganggotai tiga daripada empat jawatankuasa kecil tersebut. Saya percaya di dalam ketiga-ketiga jawatankuasa yang mana PPMM mempunyai wakil, sudah pasti kami akan juga mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam isu forensik ini berdasarkan pembentangan-pembentangan yang akan diadakan pada hari ini dan esok.
Sekali lagi saya percaya LANCER IV akan mendahului perbincangan dan perbahasan pindaan undang-undang ini kerana kita akan membincangkannya dalam masa dua hari ini. Perbincangan yang diadakan di sini mungkin amat berguna sekiranya anakanda-anakanda sekalian pulang ke Malaysia beramal sebagai peguam syarie ataupun hakim syarie. Inilah kelebihan anak-anak Malaysia yang belajar di Jordan atas usaha dan inisiatif oleh Kelab Peguam Muda Jordan.
Bagi pihak PPMM kami akan sentiasa memberi nasihat panduan dan bimbingan kepada KPMJ dalam segala perkara yang diperlukan disamping tidak menyekat kebebasan pimpinan KPMJ untuk membuat keputusan dan menggerakkan KPMJ atas inisiatif sendiri. PPMM sentiasa berharap alumni KPMJ akan menjadi wadah yang akan lebih utuh untuk membantu misi PPMM mengarusperdanakan syariah. Syariah mesti di letakkan di laluan utama, berdaya saing dengan sistem yang lain serta difahami dalam ertikata sebenar. Saya amat berbangga dengan alumni KPMJ yang telah membuktikan kecemerlangan mereka di arena guaman syarie. Seramai 6 orang alumni KPMJ telahpun diterima menjadi peguam syarie sejak tiga tahun yang lepas dan beberapa lagi sedang menunggu keputusan peperiksaan peguam syarie yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat. Bagi mahkamah syariah pula saya mendapat input daripada Ketua Ketua Hakim Syarie mereka juga mencari graduan lulusan Jordan untuk diserap ke Jabatan Kehakiman Syariah di negeri-negeri. Malah mereka meminta saya agar tidak menghadkan program LANCER kepada kepeguaman syarie sahaja tetapi juga kehakiman syarie. Itulah sebabnya kita datangkan bersama kita hakim syariah bagi mereka melihat sendiri prestasi graduan syariah dari Jordan.
Peguam sebagai pegawai mahkamah mempunyai pelbagai tanggungjawab bersifat vertikal dan horizontal. Tanggungjawab vertikal seperti kebertanggungjawaban kepada Yang Maha Tinggi Allah SWT dan juga mahkamah. Manakala yang bersifat horizontal pula adalah tanggungjawab sesama peguam dan anakguam. Kesemua tanggungjawab ini digalas sepenuhnya oleh peguam dengan penuh tertib dan hemah. PPMM sentiasa ingin menerapkan kesedaran ini agar para peguam yang lahir dari tarbiyah ini akan sentiasa sedar dan insaf akan tanggungjawab mereka.
Dewasa ini walaupun sudah lebih lima dasawarsa negara mengecapi kemerdekaan, namun asas kemerdekaan ini masih lagi dipersoalkan dan sejarah serta tataatur yang telah dipersetujui bersama suatu ketika dahulu mula dipersoalkan. Mempersoalkan pelaksanaan kontrak sosial bukanlah suatu yang tidak baik tetapi menuntut pemansuhan kontrak sosial perlulah seiring dengan pemansuhan apa yang dipersetujui bersama ini. Sebagai contoh sekiranya persetujuan tentang keistimewaan kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja Raja Melayu ingin dimasuhkan maka imbangan persetujuan lain juga perlu sama juga dimansuhkan kerana suatu kontrak itu tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama.
Ketika ini juga terdapat banyak persoalan tentang hak-hak didakwa diberikan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia juga diasaskan kepada terma-terma konvensyen antarabangsa yang mahu diterapkan di Malaysia. Budaya norma dan nilai antarabangsa ini mahu ditanamkan di tanahair kita walaupun ianya begitu asing dan menghakis jatidiri kita. Persoalan yang sering timbul dibenak fikiran saya ialah kenapa pada ketika ini kita sering memperjuangkan apa yang kita katakan hak kita tetapi tidak pula peka bila kita tidak menjalankan tanggungjawab kita? Hak mahu dinikmati sepenuhnya tetapi tanggungjawab seringkali dipinggirkan. Pengaruh hak asasi manusia yang kini dilihat sebagai sebuah 'agama' baru amat memberi kesan kepada kehidupan rakyat bermasyarakat di Malaysia. Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan istilah 'hak asasi manusia' tetapi menggunakan istilah 'kebebasan asasi' namun neraca hak asasi manusia masih menjadi parameter bagi mengukur kemajuan negara. Kebebasan asasi yang dinukilkan di dalam Perlembagaan Persekutuan pula bukanlah tidak terhad. Terdapat syarat dan proviso yang jelas diperuntukkan. Adalah amat tidak munasabah mempunyai hak yang tidak terhad kerana ia sebenarnya akan menghadkan hak orang lain pula.
Sebagaimana yang kita lazim ketahui kepentingan umum hendaklah lebih diutama apabila ia bertembung dengan kepentingan khusus atau persendirian. Dalam banyak konteks kepentingan umum ini selalu diketepikan kerana mengutamakan kepentingan diri. Natijahnya masyarakat akan menjadi tidak teratur dan kucar kacir. Menjaga maqasid al syariah hendaklah menjadi agenda utama tetapi dalam menggarap piawaian maqasid ini ia hendaklah secara dasarnya tidak bertentangan dengan nas-nas yang qatie.
Anakanda-anakanda sekalian,
Anda mempunyai kelebihan dapat membaca kitab-kitab turath dan muasarah, kelebihan ini patut disulami dengan ilmu perundangan semasa dan tatacara mahkamah di Malaysia. Hasil sulaman ini akan menzahirkan sebuah pakaian yang cantik dan bergaya. Namun walaupun memakai sulaman yang indah dan bergaya jangan sekali-kali lupa diri dan terperangkap di dalam kelunakan hidup di dunia. Biarlah dunia yang mengejar kita dan bukan kita yang mengejar dunia.
Dalam premis ini PPMM juga sempena LANCER IV ini telah melancarkan Tabung untuk membantu pelarian Syria yang berada di sempadan Jordan. Alahmdulillah dalam tempoh dua minggu kita telah dapat mengutip sebanyak lebih kurang USD 7000 bagi membantu mereka. Walaupun tabung ini telah ditutup pada 23 Nov lepas tetapi kami masih lagi menerima sumbangan ini. Inshaallah PPMM akan salurkan semua dana ini melalui KPMJ dengan kerjasama Tangisan Syria di bumi Jordan supaya ia menjadi latihan kepada ahli KPMJ merasai denyut nadi orang yang tidak bernasib baik dan menghargai mereka sebagai salah seorang saudara seagama kita. Perlu ditekankan di sini wang dan harta bukanlah menjadi matlamat utama seorang peguam. Amanah ilmu perundangan dan syariah ini hendaklah dilaksanakan dengan memberikan hak yang sebenar kepada pemilik hak tersebut dan menghilangkan sengsara yang dideritai sahabat atau saudaranya. Oleh itu program infaq ini amatlah bermanfaat untuk kita sedari falsafah kewujudan diri kita sendiri.
Akhirnya, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan kepada setiap dan tiap-tiap peserta LANCER IV selamat maju jaya semoga input-input selama dua hari ini akan sama sama kita uli dijadikan ianya bermanfaat kepada semua. Inshaallah.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan program LANCER IV 2015.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.
Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar
27 Nov 2015
Al Mafraq, Jordan
"Syariah Diperkasa, Kredibiliti Terbina"
"Syariah Diperkasa, Kredibiliti Terbina"
Comments
Post a Comment