Potensi graduan Asia Barat
Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
KPMM ditubuhkan bertujuan untuk memberi pendedahan kerjaya guaman syarie kepada mahasiswa syariah di Mesir.
GRADUAN lulusan Asia Barat terkenal dengan kemahiran mereka dalam hukum-hakam agama. Mereka juga berupaya membaca teks asal kitab-kitab agama bagi menjadi rujukan. Golongan itu memiliki potensi yang amat besar untuk dimanfaat negara, khususnya dalam bidang guaman syarie.
Baru-baru ini, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah berjaya membantu mahasiswa syariah di Mesir menubuhkan Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir (KPMM) di Kaherah.
KPMM ditubuhkan bagi memberi pendedahan tentang kerjaya guaman syarie kepada mahasiswa syariah di Mesir.
Pada tahun lepas inisiatif yang sama telah dibuat bagi penubuhan Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Majlis pelancaran yang dihadiri lebih 200 peserta itu disertai dengan forum kerjaya guaman syarie. Ia memberi input berguna tentang kerjaya sebagai peguam syarie dan undang-undang Islam di Malaysia.
Menariknya, forum tersebut tidak hanya dihadiri oleh mahasiswa syariah tetapi turut disertai secara aktif oleh mahasiwa jurusan lain seperti usuludin, perubatan, pergigian dan ulum Islamiyah. Mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mengetahui isu semasa perundangan negara.
Penubuhan KPMM memang ditunggu-tunggu oleh mahasiswa syariah di Mesir kerana rata-ratanya mahasiswa syariah di Mesir memang mahir dengan hukum-hakam agama tetapi sedikit ketinggalan dari sudut undang-undang negara dan tata cara mahkamah syariah.
Dengan adanya kelab yang bermotif kerjaya itu, sedikit sebanyak mahasiswa syariah akan dapat menimba ilmu dan melakukan persediaan menjadi peguam syarie setelah kembali ke tanahair.
Seorang peguam syarie perlu menguasai bukan sahaja kitab-kitab thurath, tetapi juga kitab-kitab muasarah yang berfungsi mentafsirkan kitab thurath. Kitab-kitab itu saling lengkap melengkapi dan mesti dikuasai oleh peguam syarie.
Dalam konteks Malaysia, oleh kerana undang-undang negara ini telah dikodifikasi, seorang peguam syarie tidak boleh lari daripada memahami undang-undang bertulis Malaysia sama ada undang-undang substantif ataupun procedural.
Kaedah pentafsiran undang-undang yang selaras dengan hukum syarak juga perlu dikuasai sepenuhnya jika mahu menjadi seorang peguam syarie yang cemerlang.
Kemahiran ini penting kerana peguam syarie juga ada kalanya dilantik dalam pelbagai jawatankuasa mendraf undang-undang. Input berguna daripada para peguam sentiasa dinantikan kerana peguam syarielah yang berada di lapangan menangani isu-isu perundangan syariah.
Seharusnya seorang peguam syarie yang baik tidak hanya berfungsi dalam mahkamah sahaja tetapi juga di luar.
Peguam adalah satu profesion yang dihormati. Pandangan peguam seringkali menjadi rujukan dan ikutan.
Sekiranya seorang peguam syarie hanya memikirkan untuk memenuhi kantung sahaja maka amat malanglah masyarakat yang mendambakan peguam syarie untuk menegakkan hak-hak mereka.
Menyedari permasalahan itu PPMM mengambil inisiatif mencari potensi baru peguam syarie yang mendapat pendidikan di Asia Barat. Diharapkan kelak alumni Kelab Peguam Muda ini akan menjadi peguam syarie yang lebih berjaya dan mahir dalam hukum-hakam dan undang-undang. Potensi besar mahasiswa Asia Barat mestilah digilap agar suatu ketika nanti mahkamah syariah akan bersinar dengan penuh kecemerlangan.
Majlis pelancaran Kelab Peguam Muda Malaysia Mesir ini diserikan lagi dengan kehadiran delegasi Kelab Peguam Muda Jordan yang diketuai oleh Muhammad Iz'aan Azalan.
KPMM yang diketuai Muhammad Faizal Sabhon dijangka akan memberi kesan besar kepada mahasiswa syariah dan menarik minat mahasiswa syariah di Mesir menyertai guaman syarie.
PPMM berharap dengan tertubuhnya Kelab Peguam Muda di Jordan dan Mesir itu, potensi mahasiswa syariah di Asia Barat akan dapat digilap dan mereka akan menjadi penyumbang besar kemajuan undang-undang syariah di Malaysia.
PPMM akan terus membimbing kelab-kelab peguam muda itu dari semasa ke semasa dan membekalkan kemahiran dan kepakaran membantu mahasiswa syariah yang berminat berkecimpung di bidang guaman syarie ini.
Comments
Post a Comment